Wednesday, 28 August 2013





Perutusan Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Sarawak
YBhg Datu Hj Loling Othman bin Alwi

Bismillahirrahmanirrahim, salam perpaduan dan salam 1Malaysia. Bersyukur kepada Allah Tabaaraka wa Ta`aala kerana dengan `inayah dan izinNya Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Sarawak (PUMCS) dapat ditubuhkan dengan jayanya.  Penubuhan Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Sarawak (PUMCS) telah dibentuk dan diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 6 September 2012 bersamaan 19 Syawal 1433H. Ia bermatlamatkan menangani isu- isu yang berlaku dalam masyarakat yang perlu diberi ulasan dan pandangan berasaskan kerangka pemikiran agama. Justeru, antara syarat kemasukan ahli PUMCS adalah mereka yang memiliki latar belakang agama.

Perlembagaan merupakan dustur yang mesti dihormati dan dijunjung tinggi oleh semua masyarakat Malaysia tidak kira apa anutan dan fahaman. Kita tidak menggunakan apa- apa cara yang dianggap ekstrim dan keterlaluan, sebaliknya bersandarkan pendekatan Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaa`ah yang dipegang oleh Abu al-Hasan al-Asy`ari dan Abu al-Mansur al-Maturidi dalam amalan syariah mazhab imam Syafie, imam Hanbali, imam Hanafi serta imam Maliki.

Pendekatan sederhana (wasatiyyah) dalam menangani isu- isu agama merupakan asas utama yang digunakan oleh PUMCS. Fahaman melampau yang kontraversi dalam menyelesaikan sebarang isu yang berkaitan dengan agama serta amalan masyarakat sejak kebelakangan ini agak membimbangkan. Medan perbincangan maya yang terbentang luas melalui internet dan saluran- saluran yang berkaitan sedikit sebanyak menimbulkan kecelaruan serta kekeliruan dalam kalangan masyarakat Malaysia amnya dan Sarawak secara khusus.

Keharmonian dalam beragama perlu dijaga agar masyarakat dapat memahami tuntutan yang dikehendaki dalam agama Islam dengan jelas seterusnya dapat diterapkan dalam kehidupan seharian dalam keadaan yang tenang dan tenteram.

Wa bilLaahit taufiq wal hidaayah was salaamu `alaikum dan salam perpaduan.

No comments:

Post a Comment