Thursday 17 October 2013

Kenyataan Akhbar Berhubung Pengaruh Syiah


KENYATAAN AKHBAR BERHUBUNG PENGARUH SYIAH

Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Sarawak sebagai sebuah pertubuhan Islam di Sarawak sentiasa mengikuti perkembangan terkini yang berlaku di dalam Negara berkaitan isu yang masih hangat diperkatakan iaitu pengaruh Syiah di Malaysia. Dalam hal ini, pihak kami menyokong usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak berkuasa kerajaan baik di peringkat nasional maupun oleh negeri-negeri bagi membendung pengaruh Syiah melalui fatwa-fatwa yang diputuskan dan diwartakan, daripada mempengaruhi masyarakat Islam yang telah sebati dengan pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama’ah.

Pihak kami mendesak agar pihak berkuasa agama mengambil langkah-langkah proaktif bagi membendung dan menyekat pengaruh ajaran ini serta menutup segala ruang dan peluang daripada mempengaruhi umat Islam khasnya di negeri Sarawak yang disebarkan melalui berbagai medium sama ada melalui risalah, buku, filem, video, laman web dan lain-lain atau melalui interaksi, hubungan, perkahwinan dan sebagainya.

Pihak kami juga menuntut kerjasama pihak berkuasa agama, badan dakwah dan para daie mengembeling tenaga dan usaha menjelaskan kepada masyarakat Islam di Sarawak tentang kepentingan dan kebaikan berpegang kepada ajaran Islam berpaksikan kepada aqidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama’ah dan amalan syariah mazhab Imam Syafie atau Imam Hanafi, Imam Maliki dan Imam Hanbali mengikut ketetapan Majlis Islam Sarawak.

Akhirnya, pihak kami menyeru seluruh umat Islam terutama di negeri Sarawak yang tercinta ini memperkukuhkan perpaduan dalam mempastikan ajaran Ahlu al-Sunnah wa al-Jama’ah menjadi pegangan hidup sebagai muslim yang telah terbukti kebaikannya dalam mengharmonikan kehidupan bermasyarakat sesama umat Islam dan agama-agama yang lain. Semoga Allah SWT melindungi kita umat Islam khasnya di negeri Sarawak daripada sebarang cubaan untuk memecah belahkan perpaduan dan memesongkan aqidah ummah.




PENGERUSI
Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Sarawak (PUMCS)

No comments:

Post a Comment